Friday, January 7, 2011

Mastitis

Apakah itu?
Mastitis adalah keradangan buah dada yang mungkin (dan kadangkala cepat) menjadi infeksi. Ia akan membuat anda berasa seperti anda dijangkiti selesema pada masa-masa anda amat memerlukan seluruh tenaga anda. Anda akan mendapati keadaan radang, keras, sakit atau panas dan bengkak di kawasan yang dijangkiti. Selalunya ini dinamakan "duktus tersumbat" sebab anda akan terasa benjolan – disebabkan ketakungan susu dalam duktus buah dada.

Tanda-tanda mastitis yang sering berlaku dan serius temasuklah seram sejuk, sakit kepala, suhu badan melebihi 38.5 darjah C / 101 darjah F dan keletihan. Simptom-simptom ini selalunya disebabkan oleh kongesi tisu di sekitar kawasan jangkitan.

Jika anda mempunyai mastitis, anda bukanlah keseorangan: kira-kira seorang dalam 10 orang ibu yang menyusu badan akan dijangkitinya dan sesetengah ibu yang memberi susu formula juga boleh dijangkiti. Walapun anda mungkin dijangkiti mastitis lebih daripada satu kali, jangkitan itu jarang melibatkan kedua-dua buah dada pada satu-satu masa. (Harap ini menyenangkan hati anda!)


Apakah puncanya?

Apa yang diketahui ialah mastitis selalunya disebabkan oleh "stasis susu" yang mana pengaliran susu terberhenti. Ini berlaku apabila susu "mengundur kebelakang" sebab susu itu dihasilkan lebih cepat daripada ia mengalir keluar. Selalunya ini ialah sebab bayi anda tidak mampu mengosongkan buah dada anda sepenuhnya semasa dia menghisap. Lazimnya punca masalah terletak pada cara bayi anda melekap ke dada semasa menyusu. Jika anda dan bayi anda kurang tahu bagaimana untuk melekap dengan baik, susu tidak akan disedut keluar dengan efisien. Sebab-sebab lain mastitis termasuklah pembengkakan buah dada yang tidak menurun dan kembali normal atau anda tidak menyusukan mengikut rutin terjadual atau trauma kepada buah dada, yang mana akan menyebabkan stasis susu melarat sehingga menjadi mastitis.

Mastitis yang berasalkan infeksi mungkin berlaku disebabkan stasis susu atau serangan kuman; tetapi, bagaimana infeksi boleh melarat ke buah dada adalah kurang difahami. Sesetengah wanita yang pernah menghidapi mastitis juga mempunyai puting yang merekah dan infeksi mungkin menembusi masuk melalui rekahan atau fisur puting dan terus ke sistem limfa buah dada. Ada pula pakar yang berpendapat bahawa mastitis dan puting merekah adalah simptom yang disebabkan teknik melekap yang kurang baik, jadi kedua-dua perkara ini boleh dikatakan berkait juga.

Anda mungkin akan dijangkiti mastitis jika anda menjadi ibu buat pertama kali tetapi ibu-ibu yang lebih berpengalaman menyusu juga boleh menghidapinya. Mastitis boleh berlaku pada bila-bila masa semasa anda menyusukan anak tetapi biasanya ia berlaku dalam bulan pertama selepas bersalin semasa anda baru mula belajar tentang penyusuan.


Bagaimanakah saya boleh merawatnya?

Jangan berhenti menyusu – ini akan memburukkan lagi mastitis. Hubungi doktor anda dengan segera. Doktor anda akan menasihatkan anda supaya berjumpa dengan kaunselor penyusuan atau dia akan memberikan anda antibiotik atau kedua-duanya, bergantung kepada tempoh jangkitan dan berapa serius keadaan anda. (Tanya doktor anda sama ada ubat yang dipreskripsikan kepada anda boleh menjejaskan bayi anda, tapi maklumlah bahawa antibiotik yang biasa diberikan untuk mastitis adalah selamat untuk bayi). Dia juga akan menasihatkan anda supaya berbaring dan rehat, mengambil ubat menahan sakit dan bertuam dengan jaram panas. Dalam masa 24 jam berikutnya, apabila antibiotik mula menunjukkan kesan, anda akan berasa lebih sihat, dan kesan yang sama juga diperolehi jika tiada berlakunya infeksi.

Jika anda menghadapi masalah yang mana bayi anda kurang cekap melekap dan menyusu dengan baik, antibiotik tidak akan berkesan untuk jangka masa yang panjang. Untuk mengelakkan daripada mastitis, anda disyorkan untuk mendapatkan nasihat terlebih dahulu. Baca dengan lebih lanjut panduan terperinci untuk penyusuan bagi menentukan sama ada bayi anda sudah boleh melekap pada buah dada anda dengan betul.

Anda boleh meminta doktor anda merujukkan anda kepada kaunselor penyusuan atau anda boleh meneliti senarai organisasi penyusuan sebagai sumber tambahan untuk mendapat nasihat. Bacalah artikel kami mengenai duktus tersumbat untuk tip-tip bagaimana boleh mencegah mastitis daripada berlaku berkali-kali dari awal lagi.

Ada juga ibu yang enggan menggunakan antibiotik sehingga mereka telah pasti tiada rawatan lain yang ada. Mungkin anda mahu mencuba penyelesaian sendiri, tapi dalam pada itu, pastikan juga antibiotik ada dalam kabinet bilik mandi sekiranya diperlukan nanti. Apa yang penting ialah pengawasan diri sebab jika mastitis itu tidak beransur sembuh, ia boleh membawa kepada abses buah dada yang merbahaya dan perlu dirawat segera (atau dibedah) untuk mengeringkannya.

Sama ada anda bertindak untuk mengambil antibiotik dengan segera atau menunggu sehingga 24 jam dahulu, anda boleh melegakan keadaan dengan mencuba yang berikut:

• Pastikan bayi anda melekap dengan baik pada buah dada anda dan dia menyusu dengan betul.

• Cuba gunakan beberapa posisi menyusu untuk mendapatkan posisi yang paling membantu bayi melekap dengan baik.

• Untuk memastikan buah dada yang dijangkiti dikosongkan sepenuhnya, susukanlah bayi anda sekerap yang dia mahu.

• Perahkan susu menggunakan tangan atau pam selepas menyusu jika anda merasakan bayi anda tidak menyusu dengan baik.

• Ada ibu mendapati pam buah dada dapat mengeluarkan susu dengan lebih baik daripada hisapan bayi, terutamanya ketika mereka mengalami puting perit.

• Jika anda berasa tidak sihat, rehatlah sebanyak mungkin.

• Anda akan dapati bahawa anda merasa lega jika dikenakan haba kepada kawasan yang terjejas dengan menggunakan kain panas atau jaram atau mandian panas. Sesetengah ibu mendapati bahawa jaram sejuk lebih berkesan.

• Jika urutan buah dada melegakan, urutlah perlahan-lahan semasa bayi anda sedang menyusu untuk melancarkan aliran susu. Urutan yang kuat boleh menjejaskan mastitis sebab susu yang telah "terbocor" akan tertolak masuk kembali ke dalam tisu buah dada.

• Anda juga boleh mengambil ubat penahan sakit untuk membantu melegakan sakit. Parasetamol boleh diambil sepanjang tempoh penyusuan dan boleh membantu mengurangkan keradangan dan juga kesakitan.


Berapa lamakah ini akan berterusan?

Jika didiagnosis di peringkat awal, mastitis adalah mudah dan cepat untuk dirawat, dan anda akan akan berasa 100 peratus lebih sihat dalam sedikit masa. Jika anda mula mengambil antibiotik (juga bagi kes bukan infeksi), pastikan anda menghabiskan semua ubat itu. Jika buah dada anda masih bengkak dan suhu badan masih tinggi, hubungilah doktor anda.


Perlukan saya berhenti menyusu jika saya menghidapi mastitis?

Tidak. Malah, adalah penting bagi anda meneruskan penyusuan semasa mengalami mastitis. Walaupun kadang-kala anda merasa sakit yang terlampau, anda perlu menyusukan bayi anda sekerap mungkin untuk melancarkan pengaliran susu. Cuba letakkan flanel yang hangat pada buah dada untuk beberapa minit sebelum setiap penyusuan – ini akan membantu anda merasa lebih selesa dan memudahkan penyusuan.

Jika bayi anda tidak mengosongkan buah dada yang radang bengkak apabila menyusu, gunakan pam buah dada untuk mengosongkannya. Dan jika anda terasa amat sakit apabila menyusu, cuba perah susu anda dan berikan susu ini kepada bayi anda dengan menggunakan cawan atau botol.


Adakah ia menjejaskan bayi saya?

Betapa sakit dirasakan semasa menghidapi mastitis, ia tidak menjejaskan bayi anda dan adalah selamat untuk bayi anda menyusu pada buah dada yang radang bengkak. Bagi mastitis jenis infeksi pun di mana bayi anda akan menelan bakteria yang terkandung dalam susu buah dada yang terjejas, apa yang berlaku ialah bakteria akan dibunuh oleh asid dalam perut bayi anda.

Sumber: http://www.babycenter.com.my/malay/baby/mastitis/

1 comment:

  1. bagus info nie..nurul minta izin copy n letak infonie di blog.

    ReplyDelete