Sunday, January 2, 2011

Panduan Penyimpanan susu ibu

S : Setelah kembali bekerja, saya mengepam 3 atau 4 jam sekali kerana susu terlalu banyak. Saya menyimpan susu perahan di dalam bekas dadih yang diletakkan di dalam kabus ais. Apabila kembali ke rumah barulah saya meletakkannya ke dalam peti ais beku. Apakah betul cara yang saya praktikkan dan apakah bekas dadih selamat digunakan?




Mass, Puchong, Selangor



J : Bagi menjawab persoalan puan, saya merujuk kepada Protokol 8 ABM Clinical: Human Milk Storage Information for Home Use for Full-Term Infants yang disediakan oleh The Academy of Breastfeeding Medicine (badan bertanggungjawab dalam mengeluarkan protokol-protokol berkaitan hal-hal perubatan yang mungkin akan mempengaruhi penyusuan ibu).



Terdapat kajian yang telah dilakukan untuk menilai bekas penyimpan susu ibu. Menerusinya didapati bahawa:



1. Bekas penyimpan kaca dan polypropylene menunjukkan kesan serupa ke atas kebolehlekatan nutrien larut lipid ke permukaan bekas berkenaan, kepekatan immunoglobulin A dan bilangan sel darah putih dalam susu yang yang disimpan.



2. Penggunaan bekas penyimpan polyethylene menunjukkan penurunan 60% immunoglobulin A.



3. Bekas penyimpan keluli pula dikaitkan dengan pengurangan jumlah dan keberdayaan sel jika dibandingkan dengan polyethylene dan kaca.



Terdapat keprihatinan tentang pencemaran susu ibu yang disimpan di dalam beg plastik polypropylene kerana risiko pencemaran akibat kebocoran plastik. Sekiranya beg plastik polypropylene digunakan untuk menyimpan susu ibu, ia sepatutnya kuat, boleh ditutup rapat dan disimpan di kawasan kurang berisiko untuk plastik berkenaan bocor. Bekas penyimpan yang dihasilkan daripada bisphenol A yang terdapat di dalam sesetengah bekas penyimpan plastik termasuk botol susu seharusnya dielakkan berdasarkan bukti kukuh bahawa ia memberi kesan buruk kerana mengganggu sistem endokrin.



1. Susu ibu segar seharusnya disimpan pada suhu bilik. Bagi suhu bilik di antara 27ºC to 32ºC, jangka waktu 3 - 4 jam adalah had munasabah untuk menyimpan susu ibu perahan (SIP). Untuk SIP yang dikendalikan dalam keadaan paling bersih dengan suhu bilik paling rendah, adalah munasabah untuk menyimpannya antara 6 - 8 jam.



2. Sangat sedikit kajian yang menilai keselamatan penyimpanan susu ibu pada 15ºC, di mana ia sama dengan pek ais biru di dalam pendingin kecil (beg atau bekas pendingin). Hamosh et al. menyatakan susu ibu selamat pada suhu 15ºC untuk 24 jam berdasarkan kepada perkembangan minimum bakteria yang terkandung di dalam sampel kajiannya. Walau bagaimanapun, terdapat pek ais yang digunakan mampu menyimpan susu ibu pada suhu seperti di dalam peti ais iaitu 4ºC. Oleh itu, pastikan kualiti pek ais yang puan gunakan.



3. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan keselamatan penyimpanan susu perahan di peti ais dan didinginkan pada suhu 4ºC. Kapasiti bakterisidal susu ibu yang didinginkan menurun dalam tempoh 48 - 72 jam. Walau bagaimanapun, kajian pemerahan susu ibu dengan sedikit pencemaran ketika pengepaman menunjukkan perkembangan bakteria adalah pada paras rendah dalam tempoh 72 jam. Malah, ia masih selamat selepas 4 - 8 hari didinginkan.



4. Membeku susu ibu perahan (-4ºC hingga -20ºC) adalah selamat untuk sekurang-kurangnya 3 bulan. Vitamin A, E dan B, jumlah protein, lemak, enzim, laktosa, zink, immunoglobulin, lysozyme dan laktoferin lazimnya kekal apabila dibekukan. Sedikit kajian mendapati peningkatan vitamin C dalam susu ibu beku selepas 3 bulan. Perkembangan bakteria tidak ditemui dan tidak menjadi masalah kepada susu ibu beku sekurang-kurangnya 6 minggu.



Aktiviti anti-bakteria susu ibu beku dikekalkan sekurang-kurangnya 3 minggu. Pembekuan makanan pada suhu -18ºC atau 0ºF adalah selamat daripada pencemaran bakteria walaupun proses enzimatik terkandung dalam makanan boleh berlaku dengan kemungkinan perubahan dalam kualiti susu. Susu ibu beku perlu disimpan di bahagian belakang peti sejuk beku untuk mengelakkan pemanasan semula akibat kekerapan membuka dan menutup peti sejuk. Jadi, semua bekas penyimpan susu ibu perlu ditutup rapat untuk mengelakkan pencemaran.



5. Selepas bekas penyimpanan diisi dengan susu ibu, sedikit ruang perlu ada di bahagian atas bekas penyimpan untuk membenarkan ia mengembang ketika dibekukan. Semua bekas penyimpan susu ibu perlu dilabel dengan tarikh susu dipam. Nama anak perlu dilabel terutamanya jika anda membekalkannya kepada pengasuh yang perlu memberi susu ibu perahan kepada ramai bayi lain. Lazimnya, bayi memerlukan 60 - 120 ml susu ibu setiap sesi penyusuan ketika berada di rumah pengasuh. Jadi, simpan susu ibu dalam stok 60 - 120 ml setiap satu adalah cara mudah untuk mengelakkan pembaziran.



6. Elakkan menambah susu ibu yang masih suam ke dalam susu yang telah dibeku. Ini bagi mengelakkan pemanasan semula susu yang telah dibekukan. Adalah lebih baik jika anda menyejukkan terlebih dahulu susu ibu yang baru dipam sebelum dicampur bersama stok sedia ada.



7. Susu ibu yang disimpan mungkin berubah bau dan rasa asalnya kerana aktiviti lipase (proses pemisahan lemak yang membantu proses penghadaman bayi terutamanya bayi pramatang). Ia tidak mendatangkan mudararat walaupun ada sesetengah bayi mungkin menolak susu berkenaan. Memanaskan susu lebih daripada 40ºC tidak digalakkan kerana ia boleh mengurangkan aktiviti enzim susu ibu.

(Sumber: http://www.majalahpama.com.my/Motivasi/artikel.asp?art=2010/1008/6446358632&sec=S )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...