Friday, August 31, 2012

Susu Ibu Anugerah Ilahi yang tiada tandingannya

KEBAIKAN SUSU IBU
 (makluman info ini diambil dar blog penulis blog ini
sumber: http://nazatulshiha.blogspot.com/ )



Bercakap mengenai kebaikan susu ibu ini, memang seolah – olah tiada penghujungnya. Sudah pasti ia adalah makanan terbaik untuk bayi. Kerana ia adalah satu – satunya makanan yang memberikan segala keperluan nutrisi untuk bayi yang berumur kurang dari 6 bulan. Sehingga kini, tidak ada satupun jenama susu formula yang mampu menyaingi kelebihan nutrisi dan bukan nutrisi yang terdapat di dalam susu ibu.

Susu ibu juga merupakan pemakanan yang perlu utk tumbesaran optima bagi bayi. Di samping itu ia dapat memberikan air yang mencukupi tanpa perlu sebarang air tambahan. Tidak seperti pemberian susu formula, yang mana pada kebiasaannya bayi itu perlu diberi tambahan air masak untuk mengelakkan sembelit. Bagi bayi yang berumur lebih dari 6 bulan pula, susu ibu merupakan ramuan diet yang tepat, di samping pemberian pemakanan komplementari. Perlu dinyatakan di sini bahawa susu ibu masih merupakan pemakanan utama bagi bayi berumur 6 sehingga 12 bulan, manakala pemberian makanan semi pejal atau pejal hanyalah sebagai komplementari atau pemakanan pelengkap kepada susu ibu tadi.

Tidak dinafikan juga, susu ibu terutamanya kolostrum merupakan immunisasi pertama & terpenting bagi setiap bayi. Ketika bayi masih di dalam rahim ibu, dunia bayi adalah dunia yang selamat, bersih dan tidak tercemar oleh sebarang kuman mahupun jangkitan. Ini kerana rahim ibu memberikan perlindungan sepenuhnya kepada bayi yang masih lemah. Rahim ibu bolehlah dianggap sebagai kawasan vakum yang tidak boleh dilolos oleh sebarang kekotoran. Namun, sebaik sahaja bayi dilahirkan, dunia kecilnya yang selamat itu telah bertukar menjadi sebuah dunia yang amat luas dan penuh dengan pancaroba kuman & jangkitan.

Allah swt itu Maha Kaya dan Maha Pencipta. Dicipta-Nya kolostrum (susu awal ibu) dengan hikmahnya yang tersendiri. Kolostrum merupakan sumber pertahanan yang terpenting bagi bayi yang baru lahir. Ia mengandungi antibodi dan sel – sel hidup yang mampu menyelamatkan bayi sebelum diberikan imunisasi formal (BCG, DPT, vaksin polio dan lain – lain). Kolostrum dapat mencegah jangkitan dan juga penyakit alergi. Inilah merupakan satu contoh sumber bukan nutrisi yang hanya terdapat di dalam susu ibu.
Kolostrum
Apakah sifat – sifat cecair yang amat istimewa ini? Kolostrum ini sebenarnya amat kaya dengan antibodi. Terdapat juga banyak sel hidup di dalamnya sehingga digelar “darah putih” oleh sesetengah pakar kanak – kanak. Ia juga bersifat laksatif dan dapat memudahkan pembuangan air besar bayi. Ia juga mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor) dan ia amat kaya dengan vitamin A.

Apakah pula kepentingan kolostrum ini? Benarkah pandangan warga dahulu kala yang mengatakan kolostrum ini sebagai susu basi?? Tidak sama sekali, malah pelbagai kajian telah dilakukan dan kesemua kajian ini bersetuju bahawa kolostrum dapat memberikan perlindungan maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. Oleh kerana ia juga bersifat laksatif, ia dapat mempercepatkan proses pembuangan mekonium, yang merupakan di antara faktor utama terjadinya jaundis (demam kuning). Oleh itu bayi yang hanya menyusu susu ibu adalah didapati kurang kuning berbanding dengan bayi yang diberi susu formula. Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi. Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi.

Fisiologi jumlah isipadu kolostrum
Jumlah total kolostrum pada 24 jam pertama selepas lahir adalah sedikit (dipetik dari Neville et al, 1988), tetapi sebenarnya jumlah ini sudah mencukupi untuk bayi itu. Secara puratanya hanya 35 ml kolostrum dihasilkan dalam satu hari (24 jam), dengan julat dari 7 hingga 123 ml, bergantung kepada penghasilan pada seseorang ibu tersebut. Jumlah ini semakin bertambah secara beransur – ansur dalam 36 jam pertama dan ia akan bertambah secara mendadak dalam 49 – 96 jam berikutnya. Pada hari kelima – jumlah isipadu total akan mencapai 500 ml / sehari. Jumlah ini seterusnya semakin meningkat ke 750 ml / sehari dalam selang masa 3 hingga 5 bulan penyusuan secara eksklusif. Apabila bayi mencapai umur 6 bulan, purata pengambilan susu adalah 800 ml / sehari.

Berdasarkan jumlah kolostrum pada 3 hari pertama kelahiran, ramai ibu merasa risau dan berpendapat bahawa susunya tidak mencukupi untuk bayi itu. Tidak ramai yang mengetahui bahawa jumlah yang sedikit (35 ml) itulah sebenarnya yang hanya diperlukan oleh bayi. Jumlah yang kecil untuk keperluan (dan saiz perut!) yang kecil. Indah sungguh ciptaan Mu ya Allah. Kau jadikan sesuatu itu cukup berdasarkan keperluannya. Tidak lebih dan tidak kurang. Mengapa masih ramai yang ragu dengan ciptaan-Mu yang satu ini?
Formula Khas
Ini bukanlah formula khas susu tepung, sebaliknya formula khas dari susu ibu! Allah swt yang Maha Bijaksana telah menentukan bahawa susu ibu mempunyai formula atau kandungan yang tersendiri, bergantung kepada fasa penyusuan tersebut:

1) Fasa kandungan - Susu pra-matang / cukup bulan

2) Fasa laktasi - Kolustrum & susu matang

3) Semasa menyusu - Susu “fore-milk: rendah lemak” dan “hind-milk: kaya lemak; LCPUFA”

Di sini ingin ditambah lagi berkenaan dengan penemuan terbaru LCPUFA (Long Chain Polyunsaturated Fatty Acids). Terdapat pelbagai jenis LCPUFA, dan antara yang paling banyak dibuat kajian adalah DHA (Docosahexaenoic Acid) dan ARA (Arachidonic Acid). Kedua – dua DHA dan ARA ini hanya didapati di dalam susu ibu pada jumlah yang sesuai dengan umur bayi tersebut. Didapati bahawa DHA & ARA adalah sangat penting untuk perkembangan otak dan ketajaman penglihatan.
Kajian telah menunjukkan bahawa; bayi yang menyusu ibu:
1) MENDAPAT MARKAH LEBIH TINGGI dalam ketajaman penglihatan
2) menunjukkan perkembangan otak yang LEBIH BAIK

Manakala ‘Choline’ (kolin, yang juga hanya terdapat di dalam susu ibu) diperlukan untuk asas pembentukan otak bayi dan juga dapat memperbaiki ingatan jangka panjang.
 (makluman info ini diambil dar blog penulis blog ini
sumber: http://nazatulshiha.blogspot.com/2006/11/susu-ibu_116373620385228522.html )

No comments:

Post a Comment